Monday, May 3, 2010

Ketua Kelab Penyokong sokong soalan YB Nasir

Dipetik dari www.wartakedah.net

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Soalan 'panas' yang dikemukan oleh ADUN Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustafa adalah wajar bagi menjelaskan kepada umum mengenai bidang kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuangku Sultan yang mutakhir ini dilihat telah diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu sepertimana yang dipaparkan di akhbar.

ADUN Bandar Baharu, YB Ustaz Yaakub Hussin menjelaskan bahawa YB Mohd Nasir ada hak untuk mengajukan soalan yang dikatakan mempertikai kuasa KDYMM Tuanku Sultan oleh pembangkang (BN).

"Jika diteliti dan fahami betul-betul, soalan ini hanya memerlukan penjelasan serta maklumat agar ADUN lain tak campur tangan bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan dan perlu dihormati oleh semua pihak di Kedah mahupun luar Kedah.

"Sekarang ini kita dapat lihat sudah ada tanda-tanda seperti yang tersiar dalam akhbar, kuasa KDYMM Tuanku Sultan telah dicampur tangan dan jika ianya dibiarkan, semakin bertambah, maka ia akan merosakkan hubungan baik antara kerajaan dengan istana," jelas beliau yang juga merupakan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kedah.

Tambah beliau, pembangkang (BN) sengaja mencetuskan kontroversi agar soalan ini tidak jawab bagi menyembunyikan isu sebenar perihal campur tangan mereka dalam pentadbiran agama Islam negeri Kedah.

"Saya tak fikir soalan yang mudah ini tak difahami oleh mereka (BN), jika soalan ini dibenarkan oleh YB Dato' Speaker mungkin mereka menerima tamparan daripada jawapan itu.

"Dari awal lagi mereka cuba cari jalan untuk pintas daripada soalan ini dijawab agar tidak dibangkitkan dalam dewan, sebab yang terlibat adalah daripada pihak mereka (BN) yang mana mereka membuat provokasi agar imam-imam tidak mengisi borang M4," ujar beliau.