Monday, August 11, 2008

Pelaburan First Solar buka peluang lebih 2000 pekerjaan


Kulim – Pelaburan AS$680 juta (RM2.2 Bilion) First Solar Incorporated akan mengwujudkan lebih 2000 peluang pekerjaan dalam bidang pengurusan, perakaunan, kejuruteraan, sumber manusia dan operasi kilang apabila keempat-empat kilangnya beroperasi sepenuhnya menjelang tahun hadapan.



Demikian diberitahu oleh Presiden First Solar Incorporated, Encik Bruce Sohn ketika berucap di majlis pembukaan rasmi First Solar Malaysia Sdn Bhd bertempat di Taman Teknologi Tinggi Kulim

Menurut Sohn lagi, kemudahan pengilangan di Kedah telah memainkan peranan penting untuk membantu syarikat mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan sekali gus sebagai mercu tanda kejayaan bagi First Solar mengembangkan perniagaan ke Asia dan membolehkan mencapai pengurangan kos menerusi ekonomi sekala dalam suasana pengeluaran bermutu tinggi. Pembukaan kilang di Kulim juga diharap dapat memesatkan lagi ekonomi Kedah pada masa akan datang.


"Selain daripada Kulim, First Solar kini mempunyai dua kilang iaitu di Perrysburg, Ohio, USA dan Order Frankfurt, Jerman bagi menjalankan aktiviti pembanggunan dan pengeluaran modul fotovoltaire film bagi produk tenaga solar," ujarnya.

Sehingga kini syarikat tersebut berjaya memasang lebih 300 megawatts daripada modul surianya di seluruh dunia dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 720 megawatts apabila kesemua kilangnya siap menjelang tahun hadapan.


Dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Sains dan Inovasi Kedah, YB Ir. Amiruddin Hamzah yang mewakili Menteri Besar YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak telah merasmikan pembukaan kilang tersebut.


Sementara itu, Pengurus kilang First Solar Malaysia Sdn Bhd, Encik Tan Poh Beng berkata, pembukaan kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim boleh dibanggakan oleh rakyat Kedah kerana menggunakan tenaga kerja terdiri daripada rakyat Malaysia di seluruh peringkat operasi.


Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Encik Heiner Eichermueller, Naib Presiden Global First Solar, En.Alan Henderson, Pengarah Koparat Kejuruteraan First Solar, Dato' Jalilah Baba, Pengarah MIDA, Dato' Ahmad Shukri Tajudin, Ketua Pengarah Ekseketif Kumpulan Teknologi Tinggi Kulim, Haji Muhammad Sobri Osman, Pengarah Ekseketif Kumpulan Teknologi Tinggi Kulim, YB Lim Soo Nee, ADUN Kulim, Ketua Polis Daerah Kulim dan pegawai-pegawai kanan KHTP.

Ekspo Negeri Kedah

ALOR STAR (25 Julai 2008): Sebanyak 100 buah gerai  pameran dan jualan yang disertai pelbagai badan kerajaan, swasta, syarikat multinasional dan industri kecil dan sederhana (IKS) mengambil bahagian dalam Ekspo Negeri Kedah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini yang bermula dari 23 Julai hingga 1 Ogos 2008.

 

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bio Teknologi dan Pembangunan Usahawan, YB. Ir. Amiruddin Hamzah dalam ucapan pada majlis perasmian ekspo berkenaan berkata, empat perkara yang diketengahkan dalam ekspo itu adalah jualan IKS, sektor pertanian dan asas tani serta pameran agensi kerajaan.

 

Menurutnya, terdapat juga pameran dari syarikat multinasional untuk semua rakyat berkongsi maklumat dan mencari peluang pekerjaan yang sesuai.

 

"Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang ekspo ini seperti berbalas pantun dalam loghat daerah di negeri ini, tayangan wayang gambar, pameran kerjaya dan kempen derma darah," katanya.

 

Ujarnya, rakyat di negeri ini diminta datang beramai-ramai memeriahkan ekspo yang diadakan itu bagi mengetahui keunikan negeri sendiri yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

 

Ekspo Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah. Berangkat sama ialah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Yang Teramat Mulia (YTM) Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

YB amirudin bergotong royong