Sunday, June 13, 2010

Kerajaan Negeri – UUM rangka pelan basmi kemiskinan

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

SINTOK: Sinergi antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kedah Sustainable Development Centre Universiti Utara Malaysia (KSC-UUM) dalam merangka Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah dilihat sangat strategik dan dinamik dalam usaha membasmi kemiskinan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abdul Ghani Ahmad, projek usaha sama antara UPEN dan UUM melibatkan aktiviti keusahawanan yang memberi peluang pekerjaan, pembangunan kreativiti dan inovasi dan pembentukan daya saing yang mantap.

Beliau menjelaskan, UPEN memerlukan perancangan yang mantap ke arah memajukan ekonomi Negeri Kedah manakala UUM sebagai universiti pengurusan memiliki kepakaran dalam bidang tersebut.

“Gabungan kedua-duanya akan memberi impak positif terhadap kemajuan dan kelestarian pembangunan negeri yang melihat pembangunan usahawan sebagai agenda penting dalam membina komuniti berteraskan keusahawanan yang mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan kerja ke KSC-UUM sejurus sebelum menghadiri pembentangan di EDC-UUM, di sini baru-baru ini.

Abdul Ghani menambah, KSC-UUM membantu UPEN menyediakan Pelan Strategik Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah yang mengambil kira pelbagai aspek penting bagi menjamin kelestarian usahawan yang dibangunkan.

Ujarnya, program seumpama ini dapat menjana pembangunan lestari dan membantu merealisasikan hasrat kerajaan mencapai status negeri maju melalui KSC-UUM yang giat menjalankan penyelidikan, perundingan serta pembangunan.

“Pertemuan ini diharap akan mencetuskan hubungan kerjasama yang lebih erat dalam merealisasikan pelaksanaan program pembangunan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah KSC-UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof berkata, usaha itu dilaksanakan selaras dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Sekumpulan penyelidik UUM di bawah penyeliaan KSC-UUM terlibat dalam membangunkan penyelidikan untuk merancakkan ekonomi secara bersepadu,” katanya.

Dr. Filzah Md Isa mengetuai kumpulan penyelidik yang disertai Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin, Dr. Siti Norezam Othman, Prof. Madya Habshah Bakar, Azhar Ahmad, Mohd Hanizan Zalazilah dan Kamarulzaman Md Ali.

Tambahnya, hasil kajian yang dijalankan bakal menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja di Negeri Kedah malah negeri-negeri di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Selain itu, katanya, pertemuan itu juga diadakan untuk melihat perkembangan KSC-UUM dalam menjalankan projek selain menjalin hubungan baik antara UPEN dalam melaksanaan program pembangunan melalui penyelidikan dan perundingan.

Kolej Universiti Insaniah tawar tiga program baru

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR: Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) menawarkan tiga program baru iaitu Ijazah Sarjana Perubatan, Sarjana Kaunseling Islam serta Diploma Perhotelan dan Perkhidmatan Halal.

Rektor Insaniah Profesor Dato’ Dr Jamil Osman berkata pengambilan bagi ketiga-tiga program terbaru dijangka dilakukan pada Julai dan Ogos ini.

“Program yang ditawarkan Insaniah kini meliputi semua bidang ilmu dan terbaru Insaniah sedang menggabungkan bidang professional seperti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan Perubatan, Perakuanan dengan Intergrasi Ilmiu Islam,” katanya kepada pemberita, di sini.

Selain itu, Insaniajh juga menawarkan program Ijazah Lanjutan iaitu empat di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab dan Muamalat. Keempat-empat bidang ini juga ditawarkan di peringkat Ijazah.
Sarjana.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1994 dengan hanya seramai 43 penuntut, kini Insaniah mempunyai lebih 4000 penuntut yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

Perkembangan ini sungguh memberangsangkan kerana Insaniah juga menerima permohonan daripada pelajar antarabangsa. Buat masa sekarang Insaniah mempunyai seramai 756 penuntut antarabangsa termasuklah dari Thailand, Indonesia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Nigeria, Jerman, Singapuran, Somalia, China dan Kemboja.

Ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahukan Insaniah menjadi pusat pengajian Islam dunia. Kejayaan menarik pelajar antarabangsa adalah kerana Insaniah banyak menjalin kerjasama dan hubungan luar dengan universiti antarabangsa antaranya University of Science and Technology dan Institut Al-Quran di Yaman, Universiti Fateh di Turki, Universiti Imam Bonjol Indonesia dan beberapa universiti di China.

Selain itu Insaniah juga berkerjasama erat dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri seperti Universiti Kebangsaan Malaysia , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Islam Antarabangsa Ismail Petra.

Bagi memantapkan produk Insaniah mendatangkan tenaga pengajar dalam bidang Pengajian Islam hampir 90 peratus datang dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Untuk sesi pengambilamn Jun ini bagi tahun akademik 2010/2011, seramai 1600 pelajar baru mendaftar selepas menerima tawaran Insaniah sejak April lalu.

Bagi sesi pengambilan Julai dijangka 1500 penuntut lagi akan mendaftar untuk mengikuti pelbagai program yang ditawarkan di Insaniah.