Tuesday, November 25, 2008


KERAJAAN GUNA PELBAGAI CARA LAHIR USAHAWAN
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR STAR, 13 November: Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berusaha untuk memajukan semua usahawan sedia ada serta melahirkan usahawan baru sebagai cara menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan langkah yang dipilih ialah melalui jalinan strategik dengan syarikat-syarikat atau GLC yang telah berjaya.
Menteri Besar, YAB. Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, melalui kerjasama seperti itu, usahawan di negeri ini akan dapat menikmati faedah dari segi input, pasaran, pengurusan syarikat, latihan atau pun suntikan modal.
"Kerajaan Negeri Kedah memilih Johor Corporation sebagai rakan untuk memajukan usahawan di negeri ini dan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya kejayaan Johor Corporation dalam mempelbagai dan meluaskan perniagaannya serta model yang digunakan bagi memajukan enterprise yang lain," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Kerjasama Usahawan Kedah dengan Johor Corporation Intrapreneur (M) Berhad di Dewan Sri Mentaloon, di sini.
Menurutnya, usahawan merupakan golongan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Kedah dan menyedari hakikat itu, pelbagai program diatur bagi memberi ruang dan peluang kepada usahawan untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka.
"Saya amat berharap agar program yang diadakan pada hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap usahawan bukan sahaja daripada sudut peluang yang disediakan sahaja tetapi ilmu pengetahuan dan maklumat-maklumat berguna yang disampaikan," katanya.
Ujarnya, program yang diadakan itu juga diharap mampu menjadi wadah atau platform kepada usahawan untuk mendengar dan melihat peluang-peluang yang disediakan oleh pihak Johor Corporation Intrapreneur (M) Berhad kepada usahawan-usahawan di negeri Kedah.
YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, usahawan-usahawan di negeri ini haruslah mengambil peluang ini untuk meluaskan dan memajukan perniagaan dengan mengadakan padanan niaga atau mengambil peluang-peluang yang disediakan oleh Johor Corporation.
Tambahnya, memandangkan bidang keusahawanan merupakan antara sektor yang menyumbang kepada ekonomi negeri di samping menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, usaha-usaha untuk membangunkan lagi usahawan dan menambah bilangan usahawan baru perlulah dipergiatkan lagi.
"Selain itu, potensi dan bakat usahawan haruslah digarap melalui pendedahan ilmu serta maklumat, di samping membina jaringan perniagaan dengan rakan-rakan usahawan yang lain," jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi serta Pembangunan Usahawan, YB. Tuan Haji Ir. Amiruddin Hamzah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation, YB. Tan Sri Mohamad Ali Hashim.

No comments: