Tuesday, September 16, 2008

28 Usahawan Bumiputera Terima Bantuan



Oleh: WADIASSOFI JAAFAR


ALOR STAR, 25 Ogos 2008 – Seramai 28 usahawan Bumiputera menerima bantuan berupa Dana Teroka daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berjumlah RM435,000 yang bertujuan untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang lebih mantap dan berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, YB. Tuan Haji Ir. Amiruddin Hamzah berkata, di bawah program ini, usahawan-usahawan kecil yang menjadikan usaha niaga sebagai sumber mata pencarian dapat dibantu dinaikkan daripada taraf sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.

“Di bawah program ini juga, usahawan-usahawan yang dikenal pasti menghadapi kesukaran di dalam mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan disebabkan oleh masalah usahawan sendiri atau masalah dengan institusi kewangan akan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Pembiayaan Dana Teroka PKNK 2008 di Wisma PKNK, di sini. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim.

Menurutnya, Dana Teroka ini adalah sebagai satu usaha Kerajaan Negeri Kedah dan PKNK untuk membantu industri kecil dan sederhana (IKS) kecil dan bukan bermotif keuntungan.

Ujarnya, usahawan-usahawan IKS yang akan berkembang lebih baik dan besar mestilah mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Bank, Bank Pembangunan dan Bank Rakyat.

“Pembinaan semula Kedai Pasar Serbanika yang uzur dengan menggantikan rumah kedai tiga tingkat yang lebih baik dan sesuai dengan keadaan masa kini serta menempatkan 140 peniaga adalah bertujuan memberi kemudahan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, pembinaan sebuah pusat perniagaan baru dan menaiktaraf Kompleks Hentian Bas Ekspress bagi menggantikan tempat sedia ada yang tidak teratur turut dilaksanakan di samping menyediakan ruang niaga yang lebih baik kepada 120 peniaga Bumiputera sedia ada.

Di samping itu, katanya, tumpuan juga turut diberikan kepada produk sejuk beku dan produk kering berasaskan bijirin dan tepung yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera.

Tamat.

1 comment:

MAT KEDAH said...

TAHNIAH YB... Salam YB, CUMA SEKALI LAGI Saya mohon jasa YB untuk menaik taraf jalan kampung (mini tar) kampung Alor Gunung dari hujung kampung Alor Pea ke rumah Pam.. Struktur jalan amat mendukacitakan. Harap YB dapat membantu kami..

Jangan JADI mcm BN yg hindarkan pembangunan mini tar sekian lama..