Saturday, September 27, 2008

Kunjungan Hurmat PERDASAMA dengan YB Amirrudin Hamzah

ALOR STAR, 26 Mei – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Negeri Kedah baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi Negeri, YB Ir. Haji Amiruddin Hamzah di Wisma Darul Aman.

Kunjungan tersebut bertujuan mewujudkan kerjasama antara Perdasama dengan pihak Kerajaan Negeri. Perdasama dalam kunjungan itu menyatakan komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri khususnya melahirkan seramai mungkin usahawan dari kalangan rakyat Kedah.

YB Amiruddin ketika pertemuan itu mengalu-alukan persatuan peniaga atau usahawan bekerjasama dan berbincang masalah dengan Kerajaan Negeri supaya perkembangan ekonomi Negeri Kedah dapat berjalan dengan lancar.

“Kerajaan Negeri akan menapis atau mempastikan segala bentuk bantuan kerajaan sama ada geran dana modal kewangan dan modal mesin dapat disalurkan kepada usahawan yang benar-benar tulen iaitu usahawan yang menjalankan aktiviti perniagaan dengan lesen yang sepatutnya dan bukan individu yang menggunakan syarikat atau lesen pihak ketiga memohon pinjaman dan menghabiskan dana bantuan bagi tujuan dan maksud lain,” tegas beliau.

Menurut beliau, usaha kerajaan itu tidak membezakan latarbelakang pendapat politik dan Kerajaan Negeri ujarnya, komited untuk membantu para usahawan dan mewujudkan peluang kerjasama dalam membangunkan ekonomi Negeri Kedah

“Tetapi bukan untuk mana-mana pihak yang berkepentingan politik,” tegas beliau membayangkan pendirian kerajaan kini.

YB Amiruddin juga menyarankan agar para usahawan dan peniaga membentuk satu muafakat di dalam pertubuhan usahawan khasnya bagi bumiputera seperti Perdasama.

“Dengan membentuk satu pasukan di dalam NGO yang membangunkan ekonomi amnya, peluang-peluang dalam pasaran dapat dikongsi, permasalahan dapat diselesaikan, sumbangan modal dapat dikumpul dan apa-apa bentuk pelaburan atau perniagaan dapat dikaji dengan teliti seperti dari segi risiko dan kadar pulang modal,” ujarnya menerangkan kelebihan tersebut.

No comments: